Datuk Malcolm Mussen Tinjau PPV Dewan Kompleks Sukan Lubok Antu

JUMAAT, 25 JUN 2021

LUBOK ANTU: Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh meluangkan masa melawat dan memantau Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Dewan Kompleks Sukan Lubok Antu pada Jumaat.

Dalam lawatan yang turut dihadiri Pegawai Daerah Lubok Antu, Richard Ngumbang, beliau juga telah diberi taklimat ringkas berkaitan operasi pemvaksinan di situ oleh Dr Richard Ho selaku Penyelaras PPV Dewan Kompleks Sukan Lubok Antu.

Senarai penerima vaksin pada hari ini adalah dari lokaliti Bui Ran, Bui Panjai dan Sesco Batang Ai (Township) dengan sasaran seramai 400 orang penerima.

Sementara itu, Datuk Malcolm yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai juga menaruh harapan yang tinggi supaya penduduk Lubok Antu mendapat vaksin sepenuhnya sebelum akhir tahun ini.

Malah beliau menggesa penduduk yang belum mendaftar agar bertindak segera dengan mendaftar diri sebagai penerima vaksin.

Antara klinik yang telah dibuka untuk memberi suntikan vaksin COVID-19 kepada komuniti ialah Klinik Kesihatan Nanga Delok, Ulu Batang Ai, Klinik Kesihatan Nanga Stamang, Ulu Engkari, Klinik Kesihatan Nanga Patoh, Ulu Lemanak dan Klinik Kesihatan Nanga Kesit, Ulu Kesit. -EDISI UKAS