Kerajaan Pastikan Tiada Yang Tercicir Mendapatkan Vaksin COVID-19

JUMAAT, 25 JUN 2021

LAWAS: Kerajaan akan pastikan setiap masyarakat yang berumur 18 tahun ke atas akan mendapatkan suntikan vaksin COVID-19. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah berkata, untuk itu Kerajaan Sarawak juga melaksanakan kaedah ‘walk in’ bagi mempercepatkan Proses Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak. 

“Di Sarawak, kita benarkan masyarakat mendapatkan vaksin dengan cara ‘walk in’ iaitu suntik dahulu dan daftar kemudian untuk proses vaksinasi cepat dan mudah.

“Di samping itu, kita juga memperbanyakkan pembukaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh Sarawak termasuk di Lawas. Misalnya, di Ba’kelalan PPV dikendalikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Manakala, PPV Bergerak diadakan di kampung dan rumah panjang yang jauh di pedalaman Sarawak. Ini termasuk juga keperluan bagi mereka yang memerlukan terutama yang uzur dan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Apa yang penting, tiada golongan yang akan tercicir dalam mendapatkan vaksin COVID-19,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap selepas meninjau dan menyerahkan Sumbangan CSR Recoda kepada PPV Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), JAKIM Lawas pada Khamis.

Sebanyak RM155,190 sumbangan CSR Recoda telah diberikan dalam bentuk barangan keperluan seperti top loading vaccine refrigerator 1 unit, peti kecemasan 12 unit, portable aircond 3 unit, penghawa dingin 2 hp 4 unit, portable dan foldable chair 11 unit, mobile toilet 5 unit, laptop 4 unit, cold box RCW 4  4 unit, cold box RCW 8 4 unit, ice pack 0.3 L 2 unit, ice pack 0.6 L 3 unit, projektor 1 unit, white screen 1 unit dan pembaikan tandas stadium (VIP). 

Sehingga kini, seramai 19,162 orang penduduk di Daerah Lawas telah mendapatkan vaksin dos pertama dan 4,377 orang pula telah melengkapkan penerimaan vaksin dos kedua. 

Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah menyeru semua pihak memberikan kerjasama dalam mendapatkan vaksin COVID-19 supaya program vaksinasi ini berjalan lancar dan mereka yang layak tidak tercicir termasuk bukan warganegara Malaysia yang bekerja di Sarawak.

“Kepada mereka yang masih belum mendaftar mendapatkan vaksin COVID-19 masih boleh mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera dan pergi ke klinik berhampiran atau datang terus ke PPV bagi yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman. 

“Manakala, bagi mereka yang tidak mahu mengambil vaksin, mereka adalah orang yang tidak bertanggungjawab kepada keselamatan diri, keluarga dan masyarakat,” ujarnya. 

Kesempatan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan yang membantu menjayakan PICK ini demi memastikan semua masyarakat mendapat vaksin COVID-19 dan keadaan kembali sedia kala. 

Hadir sama Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Malaysia yang juga Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Encana Bahagian (JPBB) Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Ubaidilah Abdul Latif, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Dr Farida Nazahiya Mohd Salleh. -EDISI UKAS

Share
0