JUMAAT, 25 JUN 2021
KUCHING: Pusat Pemberian Vaksin IndustrI (PPVIN) merupakan usaha kerajaan Sarawak untuk menyelesaikan masalah peningkatan kes positif COVID-19 di tempat kerja.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, setakat 29 Mei hingga 24 Jun 2021, sebanyak 25 kluster yang direkodkan adalah melibatkan kluster di tempat kerja.
Justeru katanya, kerajaan Sarawak menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah mengambil keputusan untuk melakukan pemberian vaksin COVID-19 di tempat kerja.
“Apa yang penting ialah kita hendak menyelesaikan masalah di tempat kerja kerana di antara 29 Mei hingga 24 Jun tahun ini, kita melihat 25 kluster dari tempat kerja dan ia telah melibatkan 1,765 kes.
“Daripada kluster ini, ia boleh merebak kerana para pekerja akan balik ke kampung iaitu tempat mereka tinggal dan ia akan menyebarkan jangkitan kepada kawasan dimana mereka tinggal,” katanya dalam sidang media di PPV Sama Jaya Industrial Zone Kuching pada Jumaat.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia II Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil & Sederhana Sarawak Datuk Mohd. Naroden Majais, Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datu Liaw Soon Eng, Pengarah Unit Keselamatan & Penguatkuasaan Negeri Sarawak Datu Dr. Chai Kin Chung, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa, Pegawai Tadbir Khas, Pembanterasan Pembalakan Haram (Pasukan Gerakan Khas), Kementerian Pembangunan Bandar & Sumber Asli Sarawak Leftenan Jeneral (B) Datuk Stephen Mundaw, dan CEO LONGi Kuching Ngieng Sii Jing.
Ketua Menteri turut berkata, syarikat-syarikat yang berdekatan juga boleh berkerjasama untuk mendapatkan suntikan vaksin di kawasan Samajaya.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut memberitahu, kerajaan Sarawak juga akan mempergiatkan lagi pemberian vaksin dengan memperluaskannya untuk sektor lain di negeri ini.
“Selepas ini kita akan meneruskan usaha kita untuk memberi suntikan di tempat kerja.
“Kita akan pergi ke sektor lain termasuklah sektor perkhidmatan yang berkaitan dengan pelancongan”ujar Ketua Menteri lagi.-EDISI UKAS