Lindungi Diri Meskipun Sudah Terima Vaksin: KM

JUMAAT, 25 JUN 2021

KUCHING: Rakyat Sarawak yang sudah menerima vaksin COVID-19 diingatkan agar terus menjaga diri dan disiplin diri mereka.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, rakyat perlu terus mengamalkan norma-norma baharu bagi melawan wabak COVID-19.

“Salah satu usaha untuk melawan wabak COVID-19 ini adalah dengan pemberian vaksin untuk meningkatkan antibodi diri.

“Namun begitu, walaupun sudah divaksin, kita masih perlu menjaga diri kita sendiri dan mendisiplinkan diri dengan amalan norma baharu,”ujarnya dalam sidang media di PPV Sama Jaya Industrial Zone Kuching pada Jumaat.

Dalam pada itu, Ketua Menteri juga turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakyat di negeri ini di atas respon yang sangat menggalakkan yang mana mereka  secara sukarela datang untuk menerima suntikan.

“saya ucap terima kasih kepada rakyat di Sarawak atas respon mereka yang begitu menggalakkan kerana mereka secara sukarela datang untuk menerima suntikan.

“Hal ini memudahkan pengurusan termasuk mengatur dan menyusun pasukan kita untuk memberikan vaksin kepada mereka,” katanya lagi.-EDISI UKAS