Penduduk Jalani ‘Home Quaratine Order’ Terima Bantuan Makanan

JUMAAT, 25 JUN 2021

LIMBANG: Penduduk yang menjalani kuarantin di rumah disebabkan COVID-19 diminta untuk terus patuh kepada arahan dan garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang berkata, ini bagi mengelak penularan wabak pandemik COVID-19.

“Saya meminta penduduk yang dikenakan Home Quaratine Order (HQO) atau kuarantin di rumah terus setia menjalani tanggungjawab mematuhi SOP yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian COVID-19,” katanya. 

Katanya, semasa ditemui selepas menyerahkan bantuan makanan sumbangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Limbang kepada tiga buah kampung yang penduduknya sedang menjalani kuarantin di rumah pada Khamis. 

Seramai 22 orang penduduk yang mempunyai ontak rapat kepada kes positif COVID-19 kini sedang menjalani kuarantin di rumah iaitu 16 penduduk di Rh Madline Kampung Merutop Tengah, dua penduduk Rh Suring Kampung Merasam Pandaruan dan empat penduduk Rh Kalat Kampung Penganan Gudang. 

Ujar Paulus lagi, beliau berharap bantuan makanan yang diberikan itu akan membantu meringankan beban penduduk kampung yang menjalani kuarantin di rumah. 

“Sebanyak 22 pek bantuan bekalan makanan telah diserahkan kepada Sukarelawan Kebajikan Kawasan Kubong Pandaruan Andria Ujan yang mewakili 14 orang Ketua Isi Rumah (KIR) bagi ketiga-tiga buah kampung yang terlibat. 

“Bantuan makanan ini antaranya beras, biskut, gula, makanan dalam tin, kopi dan garam. Setiap pek barangan adalah bernilai RM50 bagi seorang penerima untuk menampung keperluan harian sehingga tempoh kuarantin tamat,” ujarnya. 

Beliau turut menyeru setiap lapisan masyarakat yang layak untuk bedaftar dan mendapatkan suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang disediakan. 

Dalam perjalanan pulang, Paulus turut meninjau progress Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Serbaguna Kampung Semabat, Kubong Pandaruan yang hampir siap dan pembinaan gereja menerusi peruntukan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) yang masih dalam pembinaan. 

Turut sama hadir Pegawai Kebajikan Masyarakat Limbang Wan Hasif Wan Jamari. -EDISI UKAS

Share
0

add comment