JUMAAT, 25 JUN 2021
KUCHING : Program Sukarelawan Pelancongan bagi Negeri Sarawak yang bermula pada Khamis, telah melibatkan seramai 2,000 petugas barisan hadapan dalam sektor pelancongan dan kebudayaan (tourism frontliners) menerima suntikan vaksin COVID-19.
Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Dato’ Sri Nancy Shukri, program bersama Kerajaan Negeri menerusi Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak (MTAC) ini merupakan strategi untuk memberi keyakinan kepada orang ramai apabila sektor pelancongan dibuka nanti.
Katanya, usaha ini juga dapat membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mempercepatkan proses vaksinasi di kalangan rakyat di negara ini khususnya di negeri Sarawak.
Beliau berkata demikian selepas melakukan kunjungan ke Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Pelancongan di Bangunan Persatuan Gereja-gereja Sarawak (ACS) Kuching, bersama dengan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, pada Jumaat.
Tambah Dato’ Sri Nancy, pengusaha kraf di luar bandar juga adalah ‘tourism frontliners’ yang boleh mendapatkan vaksin dalam program tersebut.
Seramai 66 sukarelawan yang terdiri daripada MOTAC, MTAC dan Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF) turut terlibat bekerjasama dengan KKM dalam menjayakan program selama 4 hari, 24 hingga 27 Jun tersebut. -EDISI UKAS