SABTU, 26 JUN 2021
KUCHING : Menteri Kebajikan,Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK), Dato Sri Fatimah Abdullah telah merasmikan Bengkel Pra-Konvensyen Antarabangsa Pendidikan Prasekolah Tahun 2021, pada Sabtu.
Bengkel yang dilaksanakan dengan norma baharu menggunakan aplikasi Google Meet itu dikendali oleh Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak (BPP MIS) bersama dengan ahli Majlis Pembangunan Awal Kanak-Kanak Sarawak (MPAKS) sebagai persediaan kepada Konvensyen Antarabangsa Pendidikan Prasekolah 2021 yang akan diadakan pada 1 hingga 3 Oktober nanti.
Menurut Dato Sri Fatimah, ia merupakan konvensyen yang julung kali dilaksanakan oleh KWKPK dengan kerja keras Bahagian Pembangunan Awal Kanak-Kanak (BPAKK) dan MPAKS, melibatkan Pendidik, Operato serta Pengasuh dari TADIKA mahupun TASKA Kerajaan dan Swasta demi memartabatkan pendidikan awal kanak-kanak sebagai asas penting dalam membentuk modal insan yang cemerlang dan berkualiti.
Beliau menambah, menerusi bengkel tersebut, para peserta dapat berkongsi cadangan pendekatan yang boleh dilaksanakan bagi mendidik anak-anak sekaligus menyemai nilai-nilai murni di kalangan mereka dalam situasi masa kini.-EDISI UKAS