SABTU, 26 JUN 2021
TANJUNG MANIS: Jaringan komunikasi akan dipertingkatkan dan diperluaskan di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang dengan menggunapakai menara yang sedia ada.
Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap ADUN Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh dalam lawatan kerja di Kampung Rajang bersama Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab pada Sabtu sempat meninjau salah satu menara pemancar Wifi Internet yang berkeupayaan mencecah sehingga tiga kilometer radius.
Bercakap kepada media, beliau memberitahu liputan itu adalah mencukupi untuk kegunaan seluruh Kampung Rajang manakala menara yang sedia ada di Belawai akan memberi manfaat kepada Kampung Belawai dan Jerijih.
“Kalau kita lihat dari segi menara ini memang satu sahaja di sini tapi yang di Jerijih dan Belawai memang menara yang sudah ada di mana dapat digunakan oleh Telco yang sedia ada begitu juga di Tanjung Manis, memang sudah ada menara.
“Ini merupakan salah satu daripada pendekatan jangka masa pendek kerana untuk mendirikan menara yang begitu tinggi mengambil masa dan yang ini dapat beroperasi dalam satu bulan,” ujar beliau.
Justeru Datu Len berharap agar semua kemudahan ini dapat digunakan oleh rakyat dan memberi manfaat dalam kehidupan mereka.
“Dengan adanya menara ini, saya harap warga di kawasan ini mendapat manfaat dalam semua bidang iaitu dalam bidang pendidikan, ekonomi, perniagaan termasuk juga interaksi di antara warga.
“Umum mengetahui kita tidak dapat bergerak jauh dari kawasan kita, dengan adanya menara seperti ini kita dapat berhubung walaupun jauh dengan berinteraksi dalam alam maya,” katanya lagi.
Sementara itu, beliau juga berkesempatan melawat para peniaga makanan di Pasar Ria Jerijih yang sudah mula beroperasi bagi melihat sendiri dan mengetahui permasalahan yang dihadapi terutamanya dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sedang dilaksanakan.
Beliau turut menasihatkan semua agar sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19.-EDISI UKAS