IKBN Miri Dijadikan PPV Sinovac, Dibuka Jam 8 Pagi Hingga 8 Malam

SABTU, 26 JUN 2021

MIRI: Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri akan dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) jenis Sinovac. 

Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin berkata ini selepas hari terakhir PPV IKBN memberikan suntikan vaksin COVID-19 jenis AstraZaneca.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke PPV IKBN pada Jumaat. 

Sementara itu, menurut penyelaras PPV Dr Kang Tzin Rong, sambutan terhadap vaksin AstraZaneca amat baik dan setiap hari dos vaksin berjaya dihabiskan. 

Jumlah penerima vaksin AstraZaneca dari mula pelaksanaannya pada 7 Jun hingga ke 25 Jun 2021 ialah 9,900.

“Mulai Sabtu, 26 Jun 2021, IKBN Miri ini akan dijadikan PPV Sinovac. 

“Keluasan kawasan luar dan dalam dewan amat sesuai untuk dijadikan PPV dan dilihat tidak akan menyebabkan kesesakan berlaku jika penerima hadir setengah jam awal sebelum waktu yang ditetapkan di dalam temu janji Mysejahtera. 

“Sebanyak 800 dos vaksin COVID-19 jenis Sinovac akan dibekalkan untuk penerima mulai Sabtu. Kapasiti ini akan ditambahkan ke 1,200 jika perlu memandangkan ruang dan kemudahan yang sedia ada adalah mencukupi untuk penambahan kapasiti tersebut,” katanya.

Tambah Dr Kang lagi, masa pemberian vaksin di PPV IKBN Miri bermula jam 8 pagi hingga 8 malam. 

“Perkara ini diambil kira memandangkan proses pemberian vaksin SINOVAC ini dijangka akan melibatkan lebih ramai penerima.

“Waktu tamat pemberian vaksin pada pukul 8 malam akan memberi peluang kepada penerima yang lewat hadir pada sebelah petang untuk menerima suntikan.

“Ini juga memberi ruang kepada para petugas untuk menyelesaikan tugasan sebelum tamat waktu pemberian vaksin,” tambahnya. 

Hadir sama Pengerusi JPBB Miri merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri; Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P. Raviwharmman A/L Packierisamy, Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong Siew Yu, Pemangku Pegawai Daerah Miri Geraldine Janely Doris Peter Kulai dan wakil Setiausaha Majlis Bandaraya Miri Harris Jau. -EDISI UKAS

Share
0

add comment