Individu Tidak Memiliki Dokumen Pengenalan Diri, Kewarganegaraan Layak Terima Vaksin COVID-19

SABTU, 26 JUN 2021

BINTULU: Individu yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan kewarganegaraan layak untuk menerima suntikan vaksin COVID-19. 

Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr Melvin Chung berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengguna mekanisme kod khas bagi membolehkan individu terbabit mendaftar seterusnya menerima suntikan vaksin.

“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah berhubung dengan Kerajaan Sarawak mengenai perkara itu sekali gus mengambil pendekatan menyelaraskan kod untuk setiap bahagian mengikut daerah masing-masing.

“Individu terbabit boleh pergi ke mana-mana fasiliti kesihatan atau Pejabat Daerah berdekatan untuk tujuan pendaftaran dengan memberi nama dan tarikh lahir mereka,” katanya semasa ditemui dalam Program Outreach Vaksin COVID-19 Bahagian Bintulu di Rumah Sating Bundan pada Jumaat.

Tambah Dr Melvin lagi, pendaftaran melalui aplikasi MySejahtera masih boleh diguna pakai kerana ia hanya memerlukan nombor telefon dan bagi warga asing pula, mereka juga boleh mendaftar menggunakan passport masing-masing.

Dalam pada itu, Dr Melvin menasihatkan orang ramai yang hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) supaya memastikan diri mereka benar-benar sihat semasa menerima suntikan vaksin COVID-19. 

“Sekiranya, tidak sihat, mereka perlu memaklumkan kepada petugas di kaunter pendaftaran atau mengemaskini status kesihatan mereka menerusi MySejahtera.

“Ini bagi mengelak insiden yang berlaku di PPV Dinner World Bintulu baru-baru ini tidak berulang,” tambahnya. 

Hadir sama Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing dan Tuai Rumah Sating Bundan. -EDISI UKAS

Share
0

add comment