JPBB Miri Zahirkan Terima Kasih Kepada NGO Dan Individu Atas Sumbangan Kepada Petugas Barisan Hadapan

SABTU, 26 JUN 2021

MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri mengucapkan terima kasih kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), syarikat korporat dan individu di atas bantuan makanan dan keperluan perubatan kepada petugas barisan hadapan dalam menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada masyarakat.

Pengerusinya, Datuk Lee Kim Shin berkata usaha murni masyarakat di Miri mampu meringankan beban dan merangsangkan agensi yang terlibat supaya dapat melaksanakan tugas dengan penuh motivasi.

“Keprihatinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan individu dapat membantu agensi kerajaan dalam memerangi pandemik COVID-19 secara lebih efektif dan efisien,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penyerahan sumbangan bahan makanan dan minuman sumbangan Pertubuhan Pemeliharaan Hayat Miri kepada tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Miri di PPV Stadium Dato Lee Teck Fook, Sekolah Menengah Jalan Riam pada Sabtu. 

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Pemeliharaan Hayat Miri, Allen Wong Lung Hing berkata sumbangan bahan makanan ini akan dibahagikan kepada tiga PPV di Miri iaitu PPV Riam, PPV Eastwood Valley dan PPV Curtin.

“Sumbangan yang kami salurkan kepada ketiga-tiga PPV Miri ini merupakan satu keikhlasan daripada persatuan kami setelah mengetahui keperluan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak turut menyaksikan penyerahan sumbangan peralatan perubatan daripada seorang dermawan yang tidak mahu namanya disiarkan dan Persatuan Pemilik Lori Miri kepada Hospital Umum Miri.

“Dermawan itu menyumbang dua unit Mesin Penafasan (AIRVO 2) atau dikenali sebagai humidifier with integrated flow generator untuk pesakit yang mempunyai masalah penafasan di Wad ICU.

“Manakala, Persatuan Pemilik Lori Miri memberikan sumbangan bahan makanan dan minuman serta peralatan perubatan seperti topeng muka kepada Hospital Umum Miri,” katanya. 

Hadir sama Pengerusi JPBB Miri merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri  Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong Siew Yu, Pengerusi Persatuan Pemilik Lori Miri, Liong Eng Kon dan Bendahara Persatuan Pemilik Lori Miri, Goh Kian Hui. -EDISI UKAS

Share
0

add comment