Kaedah ‘Walk In’, PPV Bergerak Inisiatif Kerajaan Sarawak Capai Imuniti Kelompok Menjelang Ogos 2021

SABTU, 26 JUN 2021

LAWAS: Kerajaan Sarawak telah memberikan kebenaran dengan menggunakan kaedah ‘walk in’ bagi masyarakat di luar bandar dan pedalaman untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Ali Hasan berkata, ini akan mempercepatkan Sarawak mencapai Imuniti Kelompok menjelang Ogos 2021. 

“Kita juga akan menubuhkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak dan memastikan mereka yang belum menerima vaksin akan segera menerima vaksin COVID-19.

“Jadi peranan kita di kampung adalah untuk pastikan masyarakat kita ini mendapat suntikan vaksin. Jika kita tidak lakukan ini, sukar untuk kita mengawal penularan COVID-19.

“Apa pun jenis vaksin, semuanya telah diluluskan dan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Ihsan Khas Banjir Kawasan Merapok di Surau Kampung Masjid Baru, Merapok, Lawas pada Khamis. 

Kerajaan Sarawak telah memperuntukan lebih kurang RM1.7 juta Bantuan Ihsan  untuk diagihkan kepada 2,535 rumah yang terjejas akibat banjir dengan kawasan Merapok telah diperuntukan sebanyak RM31,500 untuk 45 buah rumah yang terlibat di lima buah kampung yang terjejas teruk pada bencana banjir itu. 

Dalam perkembangan lain, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari menambah, Kerajaan Sarawak akan membina coastal highway di kawasan ini dan untuk itu masalah banjir perlu diselesaikan dahulu. 

“Mengikut perancangan, Kerajaan Sarawak akan mengambil kira bagaimana hendak mengatasi masalah banjir dengan membesar atau meluruskan anak-anak sungai di sini.

“Ini akan membolehkan banjir di kawasan ini akan dapat diatasi,” ujarnya. 

Pada majlis itu juga, Datuk Amar Awang Tengah telah menyerahkan 7 geran  Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bukit Puan, Pengerusi Masjid  Kampung Sasa, JKKK Kampung Sasa, Kelas PLF KEMAS Kampung Bukit Puan, JKKK Kampung Long Merambai, Persatuan Wanita Kampung Sasa, Pengerusi Borneo Evangelical Bukit Manang dan dua geran Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Kampung Long Merambai dan Kampung Bukit Manang.

Hadir sama Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Malaysia yang juga Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Encana Bahagian (JPBB) Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Ubaidilah Abdul Latif dan Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Penghulu Johara. -EDISI UKAS

Share
0

add comment