Kerajaan Sarawak Pelbagaikan Inisitaif Pastikan Imuniti Kelompok Dapat Dicapai Pada Bulan Ogos Ini

SABTU, 26 JUN 2021

LIMBANG: Kerajaan Sarawak berusaha memastikan Imuniti Kelompok akan dapat dicapai pada bulan Ogos.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan Kerajaan Sarawak dengan mempelbagaikan kaedah pendaftaran vaksin COVID-19 dan memperbanyakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Misalnya, Sarawak menggunakan kaedah ‘walk in’ pendaftaran vaksin COVID-19 dan mempelbagaikan kaedah PPV seperti PPV berbentuk statik dan Program Outreach Vaksinasi di kawasan luar bandar dan pedalaman. 

“Pusat Pemberian Vaksin statik di Dewan Suarah Limbang ini dibuka hampir setiap hari. Jadi, kita juga menerima orang awam selain daripada yang mendaftar melalui My Sejahtera ataupun secara manual, kita juga menerima mereka yang walk in. 

“Kita juga berusaha untuk mempercepat dan memudahkan program vaksinasi ini selain daripada PPV statik sedia ada ini, kita juga akan melaksanakan program Outreach Vaksinasi di mana petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan pergi ke kampung-kampung dan rumah panjang,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Suarah Limbang dan Penyerahan Bantuan CSR RECODA Untuk Program Vaksinasi Di Bahagian Limbang pada Jumaat. 

Setakat Khamis, jumlah penduduk di Daerah Limbang yang telah menerima vaksin COVID-19 dos pertama ialah 17,478 orang atau 42.8 peratus daripada jumlah penduduk yang berumur 18 tahun ke atas iaitu 40,797, manakala mereka yang telah melengkapkan dua dos vaksin ialah 5,611 orang atau 13.8 peratus.

Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari menyeru masyarakat Sarawak mengambil sikap peduli dan serius untuk mendapatkan vaksin COVID-19. 

“Semua ini adalah untuk kebaikan diri kita, keluarga dan masyarakat pada keseluruhannya. 

“Saya percaya dengan usaha ini kita akan dapat membendung Covid-19 ini,” ujarnya. 

Pada majlis itu, RECODA melalui Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) telah menyumbang 1 unit Top Loading Vaccine Refrigerator, 5 unit Cold Box pelbagai size dan 3 unit Ice Pack dengan kos RM34,720 kepada Jabatan Kesihatan Bahagian Limbang.

Sementara itu, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak yang juga ADUN Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail ketika ditemui berkata, Program Outreach Vaksinasi di Daerah MLimbang akan bermula pada bulan Julai nanti. 

“Bagi kawasan di Daerah Limbang kita akan bermula awal bulan depan (bulan Julai) dan antara tempat yang telah dicadangkan adalah di Long Rayeh 3 lokasi, Long Napir 2 lokasi dan di Kampung Pundut 1 lokasi. Ia akan melibatkan 373 orang.

“Manakala, bagi Kampung Limpaku Pinang, Kampung Bulantak, Kampung Merambut dan Kampung Merajang akan melibatkan 309 orang. 

“Bagi kawasan yang jauh kita akan menggunakan jalan udara di dua lokasi iaitu di Sungai Adang dan Pa’puti akan melibatkan 134 orang,” katanya. 

Tambah Datuk Dr Abdul Rahman lagi, beberapa lagi akwasan di Daerah Medamit juga akan turut mendapatkan vaksin COVID-19 menerusi Program Outreach Vaksinasi ini. 

“Kawasan lain seperti di Medamit juga akan bermula pada awal bulan Julai bagi kawasan yang boleh dihubungi menggunakan jalan darat dan jalan sungai yang mana ada 12 lokaliti iaitu Rh Jampong, Rh Lawai, Rh Agan, Rh John, Rh Entabang, Rh Geling, Rh Liban, Rh Masuil, Rh Yurut, Rh Lumbong, Rh Brain dan Rh Sing, ini akan melibatkan 1198 orang,” tambahnya. 

Justeru, penduduk di kawasan tersebut diminta bersedia untuk menerima kunjungan daripada pasukan PPV Mobvile Outreach ini bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19. 

Hadir sama ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Limbang Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Ubaidilah Abdul Latif, Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said dan Pegawai Kesihatan Bahagian Limbang Dr Norliza Jusoh. -EDISI UKAS