Penduduk Di Debak Mula Terima Suntikan Vaksin

SABTU, 26 JUN 2021

DEBAK: Penduduk di sekitar Debak mula menerima suntikan vaksin yang dilaksanakan pasukan vaksinasi bergerak bermula Sabtu hingga Ahad.

Menurut ADUN Saribas, Mohammad Razi Sitam, terdapat kira-kira 2000 penerima berdaftar di daerah berkenaan yang akan menerima suntikan vaksin berkenaan.

“Jika sebelum ini, penduduk kampung dari Debak ini perlu hadir ke pusat vaksinasi bertempat di Dewan Rentap di Betong.

“Dengan usaha ini dapat meringankan beban penerima vaksin di sekitar Debak,” katanya kepada UKAS semasa meninjau proses pemberian vaksin di PPV Sekolah Kebangsaan Datuk Bandar, Debak pada Sabtu.

Mohammad Razi memberitahu pasukan vaksinasi bergerak itu akan mempercepatkan proses pemberian vaksin untuk penduduk di daerah debak.

Pada masa sama, beliau berharap pasukan itu akan dapat membantu mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Dalam pada itu, beliau menyeru kepada semua penduduk kampung yang belum menerima vaksin untuk menghantar nama mereka kepada ketua kampung atau pejabat daerah di kawasan masing-masing.

Sebanyak 1900 nama telah diterima dan dikumpul oleh pihak JKKK di seluruh Daerah Debak.

Semua nama tersebut akan diusahakan menerima vaksin selama dua hari hingga esok dan sekiranya masih ada yang belum mendapat vaksin, program tersebut akan disambung semula pada minggu hadapan.

Selain itu, program yang sama juga akan diadakan di Kampung Tuie dan Kampung Serabang. – EDISI UKAS