SABTU, 26 JUN 2021
ASAJAYA: Kampung Sadong Jaya telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan peningkatan kes COVID-19 yang berpunca daripada aktiviti pengkebumian dan kenduri arwah.
Kira-kira 901orang dari 167 keluarga di kampung tersebut terlibat dalam pelaksanaan PKPD itu yang bermula pada 25 Jun hingga 8 Julai 2021.
Sehubungan itu, sebanyak tujuh sekatan jalan raya telah dibuat untuk mengawal jalan keluar masuk dan Pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Asajaya dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan sepenuhnya SJR tersebut dan kawalan keselamatan di situ.
Sementara itu, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan ujian saringan melalui pengesanan kes secara aktif (ACD) di Dewan Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yaakub, Kpg Sadong Jaya pada Jumaat.
Dalam pada itu, sebuah bilik operasi juga dibuka bertempat di ruang legar luar Masjid Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yaakup, Kampung Sadong Jaya yang telah disediakan dan dikendalikan oleh APM Asajaya.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Samarahan menasihatkan para penduduk kampung untuk sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Beliau turut memohon penduduk untuk memberikan kerjasama yang baik kepada petugas barisan hadapan sepanjang tempoh PKPD dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.-EDISI UKAS