SABTU, 26 JUN 2021
BINTULU: Seramai 320 orang penduduk di Rumah Sating dan 11 lagi rumah panjang di sekitarnya menerima suntikan vaksin COVID-19.
Menurut Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu, Dr Melvin Chung Hsien Liang pendekatan itu adalah untuk memastikan penduduk di luar bandar termasuk kawasan pedalaman tidak terpinggir daripada menerima vaksin COVID-19.
“Rumah Sating merupakan rumah panjang pertama di Bahagian Bintulu yang dipilih dalam Program Outreach Mobilisasi Vaksin COVID-19.
“Selain itu, 11 lagi rumah panjang di sekitarnya turut menerima suntikan vaksin COVID-19,” katanya semasa ditemui dalam Program Outreach Vaksin COVID-19 Bahagian Bintulu di Rumah Sating Bundan pada Jumaat.
Tambahnya, pihaknya menyasarkan antara 300 hingga 350 penduduk menerima suntikan vaksin COVID-19 ini.
Mengulas lebih lanjut, Dr Melvin berkata pihaknya telah mengenal pasti beberapa lagi lokasi lain bagi penganjuran program yang sama di Bahagian Bintulu.
“Bagi memastikan kelancaran Program Outreach Mobilisasi Vaksin COVID-19 ini, pihaknya menggunakan tiga akses untuk memberi suntikan vaksin COVID-19 kepada penduduk di kawasan pedalaman. Ini mernagkumi jalan darat, jalan air dan perkhidmatan udara (khusus untuk lokasi tertentu),” ujarnya.
Hadir sama Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing dan Tuai Rumah Sating Bundan. -EDISI UKAS