Program Pemberian Vaksin ‘Outreach’ Mukah Bermula Di Ulu Baoh, Dalat

SABTU, 26 JUN 2021

DALAT: Program pemberian vaksin secara ‘outreach’ atau turun padang yang pertama dilaksanakan di Mukah telah bermula pada Jumaat di Rumah Simu yang terletak di kawasan Ulu Baoh, Dalat.

Menurut Residen Bahagian Mukah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Mukah, Hamdiah Bakir, seramai 37 penduduk di rumah panjang itu telah menerima dos pertama vaksin.

Katanya, hari pertama program itu mensasarkan untuk memvaksinasi penduduk di 15 buah rumah panjang di kawasan berkenaan.

“Ini adalah program pertama di bahagian Mukah, program outreach daripada beberapa program outreach yang akan diadakan baik di klinik kesihatan mahupun turun padang.

“Untuk hari pertama ada 200 dos manakala untuk hari kedua ada 287 menjadikan keseluruhannya sebanyak 487 dos untuk kawasan ini,” katanya kepada UKAS semasa meninjau program itu di Rumah Simu pada Jumaat.

Hamdiah dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada penduduk kerana menerima vaksin dan faham akan kepentingannya untuk mencapai imunisasi berkelompok dalam masyarakat.

Sementara itu, Penghulu Sebastian Sintan amat berterima kasih kepada semua pihak yang telah melaksanakan program pemberian vaksin secara outreach itu di kawasan tersebut.

Salah seorang penerima, Stephenson Changgai Gindau turut merakamkan penghargaan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana turun padang untuk memberikan vaksin kepada penduduk di Rumah Simu.

Program tersebut dianjurkan oleh Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Daerah Dalat.

Menurut statistik terkini, seramai 40,430 penduduk di Mukah telah menerima suntikan dos pertama manakala sebanyak 8,993 lagi telah menerima dos kedua. – EDISI UKAS