Program Virtual Global Market-Fit Kini Dibuka Untuk Permohonan

SABTU, 26 JUN 2021

KUCHING: Permohonan kini dibuka bagi Program Global Market-Fit (GMP) yang akan dijalankan secara maya bermula 1 Ogos hingga 24 September 2021.

Pengerusi TEGAS yang juga Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh memberitahu, program itu akan membantu syarikat pemula untuk mempercepatkan pertumbuhan dengan produk baru atau strategi penyelesaian yang sesuai dengan pasaran yang akan dapat dikembangkan ke negara lain.

“GMP menyediakan platform untuk pemula meneroka budaya, memahami cara perniagaan dan mendapat akses pasaran antarabangsa di negara-negara di luar ASEAN.

“Kami gembira dapat bekerjasama dengan MaGIC dan TusStar untuk menyokong pemula-pemula di Sarawak untuk berkembang ke China melalui Program Pasaran Global-Fit Maya. Program ini akan menjadi perkongsian pertama kami dengan MaGIC untuk Kampung Digital TEGAS,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Selain itu beliau berkata, mereka akan belajar daripada mentor, berjumpa dan mendapat akses kepada pelabur antarabangsa dan rakan kongsi.

Dalam program itu juga mereka dikehendaki melakukan program secara atas talian mengikut jadual yang ditetapkan.

TEGAS dan MaGIC menawarkan 100 peratus subsidi untuk pemula Sarawak yang layak untuk program GMP dan sebarang permohonan dan maklumat lanjut boleh dilayari di laman https://www.mymagic.my/gmp.-EDISI UKAS