Tiada Keperluan Berpuasa Sebelum Mengambil Vaksin COVID-19

SABTU, 26 JUN 2021

MIRI: Orang ramai yang telah mempunyai temu janji mendapatkan vaksin COVID-19 tidak perlu berpuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin berkata sebaliknya mereka dinasihatkan untuk makan dan minum secukupnya sebelum pergi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“JPBB Miri menggesa penduduk Miri untuk menerima vaksin COVID-19 supaya membina rangkaian perlindungan. 

“Penduduk Miri yang akan menerima vaksin COVID-19 dinasihatkan agar makan dan minum secukupnya sebelum pergi ke PPV. 

“Tiada keperluan untuk berpuasa sebelum menerima vaksin COVID-19,” katanya menerusi kenyataan media pada Sabtu. 

Ketika ini Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Bahagian Miri sedang giat dijalankan di pelbagai PPV dan berjalan lancar dengan bilangan penduduk yang telah menerima vaksin COVID-19 semakin meningkat. 

Pada masa sama, ujar Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak menggesa mereka yang telah menerima suntikan vaksin COVID-19 terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan kekal berwaspada dengan mengamalkan elak di tempat sesak, sempit dan sembang dengan jarak jauh. 

Share
0

add comment