Timbalan Ketua Menteri Lawat 3 SJR Di Daerah Lawas

SABTU, 26 JUN 2021

LAWAS: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan telah melawat tiga Sekatan Jalan Raya (SJR) di Daerah Lawas iaitu SJR Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lawas, SJR Pejabat Pos dan SJR Lapangan Terbang Lawas pada Jumaat.

Dalam lawatan itu, beliau telah diberikan taklimat oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Daerah Lawas berkenaan dengan keadaan semasa SJR di waktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selepas taklimat, Datuk Amar Awang Tengah beramah mesra dengan petugas barisan hadapan dan menyampaikan bungkusan makanan kepada anggota yang bertugas di ketiga-tiga SJR itu. 

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Residen Bahagian Limbang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) Dato Ubaidilah Abdul Latif dan Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok. -EDISI UKAS

Share
0

add comment