AHAD, 27 JUN 2021
KOTA SAMARAHAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato’ Idris Buang turun padang bersama petugas First Response Team (FReT) DUN Muara Tuang bagi menyantuni petugas barisan hadapan di pos kawalan sekatan jalan di beberapa kampung di kawasan tersebut pada malam Sabtu.
Antara lokasi pos kawalan sekatan jalan kampung yang dikunjungi beliau ialah Kampung Murud Plaman, Kampung Tian Sekawan dan Kampung Tian Mawang, Serian.
Dalam kunjungan itu, beliau telah menyumbangkan air minuman, makanan dan peralatan sebagai tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang tidak mengenal penat lelah dalam membantu mengekang penularan wabak COVID-19.
Dalam pada itu, Dato’ Idris Buang menyeru penduduk memberikan kerjasama dengan petugas hadapan dan sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) di kampung masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. -EDISI UKAS