Dato Sri Nancy Shukri Lawat Projek Di DUN Gedong

AHAD, 27 JUN 2021

SIMUNJAN: Projek Laluan Tepi Sungai Gedong atau ‘Gedong Riverbank Walkway Project’ bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat di situ malah akan menjadi salah satu tarikan menarik di kawasan berkenaan.

Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya, Dato’ Sri Nancy Shukri bersama Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana Sarawak, Datuk Mohd Naroden Majais berkesempatan melawat tapak projek di Kampung Gedong pada Sabtu.

Menurut Dato Sri Nancy Shukri yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong, tempat tersebut akan ditinggikan lagi dan membina ban untuk mengelakkan banjir supaya tempat ini tidak dibiarkan kosong.

“Kita akan membina ban untuk mengelakkan banjir berlaku dan juga tempat ini akan diguna pakai sepenuhnya,”ujar beliau.

Dalam pada itu, Datuk Mohd Naroden yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong berkata, seperti yang dapat dilihat Gedong mempunyai potensi pelancongan yang amat baik pada masa akan datang.

“Memandangkan Gedong akan menjadi sentral, yang pertama ia dapat menghubungkan Gedong dari Serian, yang kedua dari Simunjan , ketiga jambatan baru yang sudah ditender pergi ke Samarahan, jadi Kuching pergi ke Gedong hanya 40 minit hingga 1 jam sahaja.

“Sebab itu, ia dicadangkan di mana Gedong boleh menarik pelancong dari luar dan cadangkan ini dapat mencapai tujuan seperti yang dikatakan oleh Dato’ Sri Nancy iaitu  ban akan dinaikkan 2 kaki untuk mengurangkan potensi banjir dan mengambil peluang benteng yang telah siap agar tidak tenggelam sekiranya tidak dinaik taraf,” katanya.

Tambah beliau, cadangan yang telah diluluskan oleh kerajaan untuk membina stadium pusat komuniti dan hotel dan telah dibincangkan dan akan ditender dalam Julai ini.-EDISI UKAS