Hotel Pusat Kuarantin Tidak Menjaga Kebersihan Boleh Ditamatkan Perkhidmatan Dan Perjanjian Terbatal

AHAD, 27 JUN 2021

BINTULU: Pihak hotel bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan bilik penginapan kuarantin dengan merujuk kepada Perjanjian Bagi Premis Hotel sebagai Stesen Kuarantin Sementara antara Kerajaan Sarawak yang diwakili Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak dan pengusaha atau pemilik atau pihak hotel, pada Klausa 9 berkenaan Kebersihan Bilik Penginapan Kuarantin.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu Jack Aman Luat dalam kenyataan medianya pada Ahad berkata, sejak kebelakangan ini banyak isu berkenaan hotel yang menjadi Pusat Kuarantin COVID-19 tidak menjaga kebersihan dan menimbulkan masalah kepada penghuni lain. 

“Dalam perjanjian itu, pengusaha atau pemilik atau pihak hotel hendaklah menyediakan pengurusan kebersihan bagi mengawal infeksi di seluruh hotel dengan mematuhi nasihat dan prosedur yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

“Bagi tujuan tersebut, pihak hotel boleh melantik perkhidmatan pembersihan sendiri dan kos pembersihan tersebut ditanggung sepenuhnya oleh pihak hotel sendiri tanpa melibatkan sebarang kos terhadap kerajaan.

“Sekiranya terdapat Person Under Surveillance (PUS) yang disahkan dijangkiti virus COVID-19, bilik penginapan PUS tersebut hendaklah dilakukan terminal cleaning oleh kerajaan dengan kos ditanggung oleh kerajaan. 

“Panggilan yang biasa digunakan di Bintulu adalah pihak “Decon” atau “Decontimination” daripada KKM akan datang ke hotel untuk membuat terminal cleaning pada bilik-bilik yang didiami oleh pesakit yang positif COVID-19 setelah mereka dibawa ke hospital,” katanya. 

Tambah Jack yang Residen Bahagian Bintulu, dengan menggunapakai Klausa 12.1.1 sepanjang tempoh perjanjian, sekiranya pihak hotel tidak mematuhi atau melaksanakan syarat perjanjian ini atau gagal melaksanakan perkhidmatan dengan sempurna dan memuaskan, JPBB Bintulu berhak untuk tidak membayar dan membatalkan perjanjian ini.

“Kerajaan berhak untuk memberikan notis secara bertulis kepada pengusaha, pemilik atau pihak hotel (atau dirujuk sebagai ”Notis Kemungkiran”) dengan menyatakan kemungkiran yang berlaku dan mengkehendaki pengusaha, pemilik atau pihak hotel untuk meremedikan kemungkiran tersebut dalam tempoh masa yang ditetapkan dalam Notis Kemungkiran tersebut (atau dirujuk sebagai “Tempoh Remedi”).

“Jika pihak hotel gagal untuk mengambil tindakan untuk meremedikan kemungkiran tersebut dalam “Tempoh Remedi” atau mana-mana tempoh lain yang dipersetujui oleh kerajaan, maka kerajaan berhak untuk menamatkan perjanjian ini dengan serta-merta dengan memberikan notis bertulis kepada pengusaha, pemilik atau pihak hotel (dirujuk juga sebagai “Notis Penamatan”),” tambahnya. -EDISI UKAS

Share
0

add comment