PPV Hopsital Bau Sasar 500 Dos Seminggu Mulai Julai

AHAD, 27 JUN 2021

BAU: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital Bau menyasarkan pemberian 500 dos seminggu bagi suntikan vaksin COVID-19 bermula Julai depan.

Pengarah Hospital Bau, Dr. Jasmany Liboh berkata, PPV Hospital Bau ketika ini hanya menjalankan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) pada Sabtu dan Ahad dan membabitkan golongan warga emas serta pesakit kronik atau komorbid.

Menurutnya, para pesakit kronik atau komorbid yang dikenalpasti oleh pegawai perubatan kemudian akan diberikan borang persetujuan suntikan vaksin COVID-19 (PVA).

“Senarai nama mereka kemudiannya dihantar kepada MyVas Kuching untuk dimasukkan ke dalam sistem MySejahtera.

“Setelah nama dimasukkan dalam sistem MySejahtera pihak hospital akan melakukan temujanji melalui panggilan telefon kepada penerima,” katanya ketika ditemui di Hospital Bau pada Ahad.

Sementara itu, beliau menambah, program yang bermula dari pukul 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu turut membabitkan seramai 24 petugas Hospital Bau.

Dalam pada itu, tinjauan yang dilakukan mendapati seramai 66 orang telah menerima dos suntikan pertama vaksin jenis Pfizer.

Manakala pada Sabtu pula seramai 30 orang lagi penerima telah melengkapkan dos suntikan kedua. -EDISI UKAS