Program Vaksinasi Bergerak Di Sungai Sadit, Sibu Dapat Sambutan Menggalakkan

AHAD, 27 JUN 2021

SIBU: Program vaksinasi bergerak yang dilaksanakan selama dua hari di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Cheng Ang Church, Kwong Hua, Sungai Sadit mendapat sambutan menggalakkan dari penduduk setempat.

Menurut Pengerusi SUPP Cawangan Bawang Assan, Senator Robert Lau Hui Yew, pihak Kementerian Kesihatan Sibu terpaksa menyediakan dos tambahan pada hari kedua bagi menampung kehadiran penerima yang meningkat.

Jelasnya lagi, pemberian vaksin di situ akan diadakan selama tiga hari dan setakat ini perjalanan di PPV itu berjalan dengan sangat lancar dan teratur.

“Respons di PPV bergerak Cheng Ang Church, Kwong Hua, Sungai Sadit sangat baik. Semalam dos disediakan sebanyak 800 tetapi yang datang lebih. Hari ini kita sediakan 1100 dos.

“Proses berjalan lancar, kita koordinat dengan baik bersama Kementerian Kesihatan Sibu.

“Kita mensasarkan seramai 3000 orang untuk tiga hari dan keutamaan diberikan kepada penduduk di sini,” katanya ketika ditemubual UKAS semasa meninjau hari kedua pemberian vaksin di PPV berkenaan pada Ahad.

Robert turut menyeru orang ramai di kawasan itu untuk menolak berita tidak benar yang cuba menakutkan masyarakat mengenai pengambilan vaksin.

Sementara itu, beberapa penerima yang sempat ditemubual wartawan UKAS di lapangan melahirkan rasa syukur kerana telah menerima suntikan vaksin.

Turut sama meninjau sekitar proses pemvaksinan di PPV bergerak itu adalah Temenggong Datuk Vincent Lau Lee Ming. – EDISI UKAS