Imuniti Kelompok Hanya Dapat Dicapai Sekiranya Bekalan Vaksin Mencukupi, ‘Mopping’ Proses Terakhir Untuk Mereka Yang Tercicir

ISNIN, 28 JUN 2021

LIMBANG: Sebanyak tiga Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Daerah Limbang telah diluluskan dengan dua daripadanya telah pun beroperasi manakala sebuah lagi akan beroperasi tidak lama lagi. 

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, sehingga kini proses pemberian vaksin COVID-19 di kedua-dua PPV tersebut berjalan lancar dan mengikut jadual yang telah ditetapkan kerajaan. 

“Setakat ini saya berpuas hati dengan pencapaian yang telah kita capai. Bagi PPV Dewan Suarah setakat ini sudah pun mencapai lebih kurang 45 peratus daripada penduduk yang layak memandangkan di kawasan bandar ramai penduduknya, jadi jadual terpaksa kita patuhi supaya tidak berlaku kesesakan di PPV Dewan Suarah.

“Inshallah kita akan membuka satu lagi PPV pada awal bulan Julai iaitu di Stadium Tertutup Limbang untuk memberikan vaksin kepada penduduk-penduduk yang tinggal di kawasan bandar Limbang,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Medamit pada Sabtu. 

Mengenai PPV Dewan Masyarakat Medamit, ianya telah beroperasi pada 15 Jun lepas dan dengan memberi vaksin di 35 buah rumah panjang, kampung, ladang dan pembalakan dengan sasaran 2,759 dos. 

Setakat ini sebanyak 82 peratus penduduk yang telah dikenal pasti mendaftar dan mendapatkan vaksin COVID-19 dos pertama sudah dicapai dan angka 100 peratus akan dapat dicapai dalam masa terdekat ini. 

Menjawab soalan media mengenai ‘Mobile Team’, Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota memberitahu ianya akan ditambah dan pada masa memperkenalkan ‘Moppinng’ bagi mereka yang tercicir dan tidak dapat bergerak dari rumah. 

“Mopping ini adalah proses terakhir untuk memvaksin mereka yang tercicir misalnya mereka tidak dapat bergerak atau terlantar di rumah. 

“Untuk mempastikan semua mereka yang layak dapat divaksin, KKM telah melaksanakan secara berperingkat yang mana pada peringkat awal ini melalui PPV Statik, kemudian secara mobile dan yang terakhir secara mopping.

“Mopping ini kita akan kenal pasti melalui ketua-ketua kampung, pasukan KKM akan pergi dari rumah ke rumah yang telah dikenalpasti tadi tetapi dengan syarat mereka mestilah golongan yang layak dan bersetuju menerima vaksin. Ia adalah cara terakhir untuk mempastikan mereka tercicir daripada mendapat divaksin,” jelasnya lagi.

Ujarnya lagi, sekiranya pembekalan vaksin COVID-19 dapat dihantar mengikut jadualnya, dijangkakan 70 peratus penduduk yang layak iaitu mereka yang berumur 18 tahun ke atas dapat menerima vaksin dan membolehkan Daerah Limbang mencapai Imuniti Kelompok denngan sasaran antara sekitar 70% peratus hingga 80 peratus.

Hadir sama ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said dan Pegawai Kesihatan Bahagian Limbang Dr Norliza Jusoh. -EDISI UKAS

Share
0

add comment