Kaunter Pandu Lalu Swab Test COVID-19 Mula Beroperasi Isnin Ini

ISNIN, 28 JUN 2021

MIRI: Kaunter Pandu Lalu Swab Test COVID-19 yang terletak di Stadium Tertutup Miri akan mula beroperasi pada Isnin. 

Ianya akan dibuka pada jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari mengikut janji temu yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

Sasarannya kepada empat golongan khas iaitu warga emas, ibu mengandung, Orang Kurang Upaya (OKU) dan kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah. 

Kaunter Pandu Lalu Swab Test COVID-19 ini merupakan inisiatif Pasukan ‘Kita Jaga Miri’ yang terdiri dari Advocates Association of Sarawak Miri Branch, SHEDA (Sarawak Housing And Real Estate Developer’s Association), Miri Branch, Rotary Club of Miri Oil Town dan Federated Chinese Association Miri. 

Ini merupakan projek ke empat yang ditaja oleh Pasukan ‘Kita Jaga Miri’ dengan kos RM45,000 selain Pandu Lalu Farmasi di Hospital Miri, Pandu Lalu Farmasi di Klinik Kesihatan Tudan dan Projek Pembinaan “Extension” Makmal Molecular Hospital Miri. 

Majlis penyerahannya telah disempurnakan Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting Chiew Yew pada Sabtu.