Kerajaan Sarawak Peruntukan RM5 Juta Naik Taraf Pos Kawalan Imigresen CIQS Tedungan

ISNIN, 28 JUN 2021

LIMBANG: Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) telah memperuntukan RM5 juta bagi menaik taraf Pos Kawalan Imigresen CIQS Tedungan ini. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, naik taraf ini meliputi pendawaian semula, pemasangan penghawa dingin, membina surau dan tandas awam dengan dijangka siap pada bulan November tahun ini.

“Pendawaian yang lama itu perlu diganti kerana merbahaya dan kita tidak mahu perkara-perkara buruk berlaku di sini. 

“Jadi kita telah pun memberikan keutamaan memandangkan mereka juga tidak mempunyai peruntukan.

“Pos Kawalan imigresen CIQS ini adalah pintu masuk dan peranannya begitu penting sekali. Kita juga mahu kakitangan yang bertugas di sini berada dalam kaedaan yang selesa dan selamat,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyerahkan sumbangan makanan kepada petugas barisan hadapan di Pos Kawalan Imigresen CIQS Tedungan, Limbang pada Jumaat. 

Pos Kawalan Imigresen CIQS Tedungan ini menjadi pintu masuk utama bagi pengguna jalan darat dari Miri yang transit melalui negara Brunei Darusalam. 

Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah juga telah mengarahkan Pengarah NRDA berbincang dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) bagi memperbetulkan generator di Pos Kawalan Imigresen CIQS Tedungan ini yang bermasalah. 

Katanya, Jabatan Imigresen Bahagian Limbang memohon mendapatkan generator baru kerana generator sedia ada pada masa ini mempunyai banyak masalah. 

“Saya telah pun mengarahkan Dato Ubaidilah untuk berbincang dengan pihak SEB tentang bagaimana untuk memperbetulkan generator tersebut dan jika perlu kita beli generator yang baru sahaja.

“Ini penting untuk mempastikan kakitangan yang bertugas di sini selesa dan selamat memandangkan ia merupakan pintu masuk untuk kita di Limbang melalui jalan darat,” katanya. 

Mengulas mengenai sumbangan ini, Datuk Amar Awang Tengah menegaskan sumbangan makanan adalah penghargaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Abdul Rahman Ismail dan ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang sebagai tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang berusaha bersungguh-sungguh untuk membendung COVID-19 ini dan risikonya begitu tinggi tapi mereka bekerja siang dan malam.

Hadir sama Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak yang juga ADUN Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBB) Limbang, Pengarah NRDA Dato Ubaidilah Abdul Latif, Pegawai Daerah Limbang Superi bin Awang Said, Ketua Imigresen Bahagian Limbang Kalthom Ahmad dan Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot. -EDISI UKAS

Share
0

add comment