Kerajaan Umum i-Citra, Ahli KWSP Boleh Buat Pengeluaran RM5,000 & Tertakluk Kepada Jumlah Simpanan

ISNIN, 28 JUN 2021

KUCHING: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperkenalkan kemudahan pengeluaran baharu iaitu i-Citra bagi meringankan beban kewangan ahli-ahli KWSP yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, menerusi i-Citra, seramai 12.6 juta ahli KWSP boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan dan tertakluk kepada jumlah simpanan KWSP ahli.

“Pelaksanaan i-Citra dijangka dapat menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian.

“Ahli boleh mula memohon kemudahan pengeluaran KWSP di portal dalam talian i-Citra di icitra.kwsp.gov.my mulai 15 Julai 2021, dengan pembayaran pertama dijangka akan dikreditkan dalam akaun ahli pada bulan Ogos 2021,” katanya dalam perutusan khas di Kuala Lumpur pada Isnin.

Selain itu, Perdana Menteri menjelaskan bahawa moratorium automatik selama enam bulan akan turut diberikan kepada semua peminjam individu merangkumi golongan B40, M40 atau T20, dan usahawan mikro dan permohonan akan dibuka pada 7 Julai ini.

“Tiada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, tiada semakan sama ada anda telah hilang pekerjaan dan tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan,” katanya lagi.

Manakala bagi meningkatkan vaksinasi, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) akan terus diperkasa melalui peruntukan RM400 juta untuk menambah bekalan vaksin negara bagi menampung 130 peratus populasi rakyat berbanding 120 peratus sebelum ini.

Kerajaan juga akan membuka 29 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tambahan bagi melaksana PPV secara pandu lalu, PPV Bergerak dan program ‘Outreach Home-to-Home’ dengan peruntukan keseluruhan RM200 juta. –EDISI UKAS