Peningkatan Kes Positif COVID-19 Di Daerah Tatau Membimbangkan, Rakyat Digesa Terus Patuhi SOP

ISNIN, 28 JUN 2021

TATAU: Peningkatan kes positif COVID-19 di Daerah Tatau sangat membimbangkan.

Menurut Pemangku Pegawai Daerah Tatau Calvin Ligong, sehingga hari ini Daerah Tatau telah mencatat 10 kluster masih aktif.

“Kes positif COVID-19 telah meningkat tiga hari berturut-turut dan mewujudkan kluster baharu di Daerah Tatau. Oleh yang demikian, saya menyeru kepada masyarakat di Daerah Tatau untuk kekal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan. 

“Selain itu, kita juga melihat kes COVID di Daerah Tatau ini berlaku di rumah-rumah panjang dan ini amat merisaukan kita.

“Justeru, saya menyeru kepada semua masyarakat mematuhi SOP dan semua aktiviti atau majlis sosial adalah dilarang semasa tempoh PKP,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) dan Penyerahan Pemberian Makanan Kepada Petugas Barisan Hadapan di Sempadan Bahagian Sibu dan Bahagian Bintulu, KM 18, Jalan Tatau Selangau baru-baru ini. 

Untuk rekod, Daerah Tatau telah melaporkan 390 kes aktif dalam masa 14 hari dan terdapat 10 kluster yang masih aktif termasuk 3 kluster baharu iaitu Kluster Jalan  Baru Tatau Bintulu, Kluster Jalan Kuala Tatau, Tatau dan Kluster Sungai Separai, Tatau. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tatau DSP Jame Reis mengingatkan masyarakat di Daerah Tatau untuk kekal berada di rumah dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi menghindar penularan COVID-19. 

“Kita lihat statistik kes positif COVID-19 ini berlaku di kawasan pedalaman di rumah-rumah panjang. Setiap hari adanya kluster dan meningkat di Daerah Tatau ini.

“Saya menyeru masyarakat di Daerah Tatau ini supaya kekal berada di rumah dan terus memberikan kerjasama yang berterusan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rh Panjang untuk memastikan penduduk tidak keluar tanpa urusan yang penting,” katanya. 

Tambah beliau lagi, polis akan membuat pemantauan pematuhan SOP dan mengambil tindakan tegas kepada masyarakat yang tidak mematuhi SOP yang masih berkuatkuasa sehingga ke hari ini.

Di Daerah Tatau, dua lokasi SJR iaitu di KM18 Batu Katak Jalan Tatau, Sibu dan Jalan Pesisir Kuala Tatau.

Turut hadir Pegawai Tadbir Daerah Tatau Winnie Dian. -EDISI UKAS

Share
0

add comment