Selepas Dos Pertama, Penerima Perlu Ambil Vaksin Dos Kedua Sebagai Pelengkap Imuniti Kelompok

ISNIN, 28 JUN 2021

NIAH: Orang ramai yang sudah mengambil dos pertama vaksin COVID-19 perlu mengambil dos kedua sebagai pelengkap kepada Imuniti Kelompok. 

Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni berkata, ini penting bagi memastikan penerima lengkap menerima vaksin seperti yang dikehendaki Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

“Penerima vaksin dos pertama perlu mengetahui bahawa mereka perlu melengkapkan dos kedua untuk mencapai Imuniti Kelompok sekaligus mengekang penularan COVID-19 ini,” katanya semasa ditemui wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sepupok Niah pada Sabtu. 

Tambah Lukanisman lagi, petugas di PPV perlu memastikan maklumat pentingnya melengkapkan proses pemberian vaksin ini disampaikan kepada penerima vaksin COVID-19 dos pertama. 

“Perkara ini perlu diambil berat oleh para petugas untuk mengesan mana-mana penerima vaksin dos kedua dengan membuat panggilan telefon jika mereka tidak hadir seperti tarikh yang telah ditetapkan,” tambahnya. 

Setakat jam 10.00 pagi Sabtu, seramai 351 penerima dos kedua telah hadir menerima suntikan. 

Selepas itu, Lukanisman mengadakan lawatan santai ke Kampung Tiris, Kampung Dagang Bekenu dan tapak projek jalan menuju ke Bakam Waterfall. -EDISI UKAS

Share
0

add comment