Dua Bot Nelayan Asing Bersama 13 Kru Ditahan Maritim Malaysia Di Perairan Miri

SELASA, 29 JUN 2021

MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Miri berjaya menahan dua bot nelayan asing pada jarak lebih kurang 39 batu nautika dari Muara Sungai Miri, pada Isnin.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Md. Fauzi Othman memberitahu, dalam operasi pada pukul 1.00 petang itu, dua buah bot nelayan dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh KM Stapa yang sedang melakukan rondaan rutin di sekitar perairan Miri.

Jelas beliau, berdasarkan struktur fizikal, kedua-dua bot tersebut disyaki bot nelayan asing Vietnam namun salah sebuah bot tersebut mengibarkan bendera Malaysia sebagai cubaan untuk mengaburi pihak penguatkuasa.

“Kedua-dua bot tersebut disyaki telah bertindak memotong dan membuang peralatan menangkap ikan ke laut sebagai usaha untuk melupuskan barang bukti serta cuba melarikan diri dari diperiksa.

“Pemeriksaan dan geledah mendapati bot tersebut tiada memiliki sebarang dokumen atau kebenaran untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara,”katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, 13 kru termasuk dua tekong warga Vietnam berumur dalam lingkungan 22 hingga 46 tahun gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika diperiksa.

“Keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai RM1.5 juta dan kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63,” katanya lagi.

Selain itu, beliau juga menambah untuk sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri ditalian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam. –EDISI UKAS

Share
0

add comment