JPBB Bintulu Cadangan Wujudkan PPVIN Perladangan Untuk Pekerja Ladang

SELASA, 29 JUN 2021

BINTULU: Selepas kejayaan Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPIV) Samalaju untuk pekerja perkilangan dan terbaru PPIV Kidurong Kelab Bintulu untuk pekerja sektor minyak dan gas, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu mencadangkan pembukaan PPVIN Perladangan bagi proses vaksinasi pekerja ladang. 

Menurut Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr. Melvin Chung Hsien Liang, ketika ini mereka masih menunggu penilaian daripada Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) Bahagian Bintulu untuk kelulusan. 

“Dalam perancangan, kita akan membuka satu lagi PPVIN iaitu PPVIN (Perladangan) dan sekarang kita masih menunggu penilaian daripada pihak CITF Bahagian Bintulu. 

“Berkemungkinan pada minggu depan kita akan pergi ke beberapa buah tempat yang dicadangkan bagi pembukaan PPVIN Perladangan setelah mendapat kelulusan perancangan daripada Pengarah CITF Bahagian iaitu Residen Bahagian Bintulu,” katanya semasa ditemui selepas menyaksikan pembukaan Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Kidurong Kelab Bintulu pada Isnin.

Kejayaan dua PPVIN sebelum ini mencetus inspirasi JPBB Bintulu untuk terus meningkatkan kadar vaksinasi ke atas masyarakat di Bahagian Bintulu khususnya mereka yang terlibat dalam sektor industri, minyak dan gas serta perladangan selain masyarakat awam yang menerima vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sedia ada. -EDISI UKAS

Share
0

add comment