Perkhidmatan Pengangkutan Bas Disediakan Ke Pusat Pemberian Vaksin UNIMAS

SELASA, 29 JUN 2021

KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah menyediakan perkhidmatan pengangkutan bas kepada seramai 136 orang penduduk Kampung Endap, Samarahan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) UNIMAS pada Isnin.

Penolong Pendaftar Kanan PPV UNIMAS, Siti Mariani Hamlin berkata, ia merupakan hari pertama perkhidmatan pengangkutan bas ke PPV UNIMAS melibatkan penduduk Daerah Samarahan mengikut jumlah senarai yang disediakan oleh pihak Pejabat Residen Bahagian Samarahan selaku Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Samarahan (JPBBS).

“Dianggarkan sebanyak enam buah bas akan digunakan dalam sehari melibatkan 120 orang penduduk namun ianya bergantung kepada kapasiti yang dibenarkan oleh pihak JPBBS.

“Perkhidmatan pengangkutan bas ini merupakan inisiatif pihak UNIMAS dengan kerjasama Pejabat Residen Bahagian Samarahan dan Pejabat Daerah Samarahan dalam usaha membantu penduduk kampung khususnya warga emas dan orang kurang upaya (OKU) mendapatkan vaksin di PPV UNIMAS dengan membantu menyediakan kemudahan pengangkutan bas,”katanya ketika ditemui pada Isnin.

Tambahnya, program perkhidmatan pengangkutan bas itu akan dijalankan sehingga Ogos 2021 dan ianya bertujuan untuk “Merakyatkan Vaksinasi” agar usaha ini memberi manfaat kepada penduduk di sekitar UNIMAS atau Daerah Samarahan sekaligus dapat membantu penduduk kampung yang kurang berkemampuan.

Sementara itu, Pegawai Daerah Samarahan merangkap Pengerusi JPBBS, Anuar Da’an ketika ditemui merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek perkhidmatan pengangkutan bas tersebut

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek perkhidmatan pengangkutan bas ini, selaras dengan pendekatan kerajaan Sarawak bagi membolehkan masyarakat menerima vaksin dalam membantu mewujudkan imuniti kelompok di kawasan Daerah Samarahan,” katanya.

Dalam pada itu, kru UKAS sempat meninjau dan mendapati, penduduk telah berkumpul menunggu ketibaan bas di Jambatan Kampung Endap dengan mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) dan sebaik bas tiba, sukarelawan UNIMAS telah berhubung dengan wakil kampung dimana suhu akan diambil sebelum memasuki bas dan semua penduduk akan diberikan tanda nama bertali yang perlu digunakan sepanjang proses vaksin dijalankan untuk pengenalpastian oleh sukarelawan UNIMAS.

Setiba di UNIMAS, penduduk telah diberi taklimat ringkas oleh Ketua Sukarelawan mengenai sembilan ‘checkpoint’ di UNIMAS iaitu Pendaftaran AG, Ruang Menunggu AG, Kaunter Nombor Giliran, Kaunter Pendaftaran, Bilik Vaksinasi, Ruang Pemerhatian, Kaunter Kad Temujanji, Ruang ‘Photo Booth’ dan Ruang Menunggu Bas.-EDISI UKAS