Plakad ‘Hentikan Stigma Negatif Terhadap Pesakit & Keluarga COVID-19’ Tarik Perhatian Ramai Di PPV Mukah

SELASA, 29 JUN 2021

MUKAH: Gelagat salah seorang penerima vaksin COVID-19 di Mukah membawa plakad ‘Hentikan Stigma Negatif Terhadap Pesakit & Keluarga COVID-19’ menarik perhatian ramai pada Isnin.

James Anthony dari Kampung Petanak, Mukah dengan usahanya sendiri mencetak plakad tersebut agar orang ramai mengubah tanggapan kepada pesakit COVID-19 dan juga keluarga mereka.

Ketika ditemui UKAS di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Suarah Mesra Mukah, beliau turut berharap penduduk lain agar tidak mudah terpengaruh dengan khabar angin mengatakan vaksin adalah tidak selamat.

“Kepada penduduk yang belum menerima vaksin, sila segera mendaftar dan kemaskini melalui MySejahtera atau melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan juga pihak berkaitan yang lain.

“Jangan dengar khabar angin mengatakan vaksin ini tidak selamat, vaksin ini adalah selamat.

“Ini adalah usaha yang sangat baik kerajaan Malaysia menyediakan vaksin kepada rakyat.

“Saya berharap kita semua tidak ada yang tercicir menerima vaksin ini. Kita jaga kita. Lindungi diri, lindungi semua,” katanya.

Beliau adalah diantara 299 orang penduduk di daerah Mukah yang berjaya melengkapkan dos kedua suntikan vaksin COVID-19 di PPV Dewan Suarah Mesra Mukah.

Selain itu, 720 lagi penduduk daerah tersebut turut tampil mendapatkan vaksin dos pertama manakala seramai 101 orang penduduk mendapatkan dos kedua di PPV Klinik Kesihatan Balingian.

Sementara itu, salah seorang penduduk dari Kampung Penakub Peramai, Ahmad Kamil Besiri, ketika ditemui turut berharap orang ramai tidak perlu berasa takut mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

“Alhamdulillah hari ini saya telah menerima vaksin Sinovac untuk dos yang pertama.

“Setakat ini tiada gejala yang membimbangkan.

“Bagi yang belum mendaftar, daftarlah di Mysejahtera atau di klinik kesihatan dan pejabat daerah yang terdekat.

“Jangan takut, vaksin ini selamat untuk kita lindung diri dari wabak Covid-19. Lindung diri, lindung semua,” ujarnya. -EDISI UKAS

Share
0

add comment