4,480 Orang Sudah Divaksin Di PPV Dewan Sri Pantu

RABU, 30 JUN 2021

SRI AMAN: Seramai 4,480 orang sudah menerima suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Sri Pantu  setakat ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 200 orang menerima suntikan vaksin pada Selasa yang mana mereka merupakan individu yang tercicir dari senarai dan pendaftaran yang baharu.

Jumlah pendaftaran baru bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 di situ semakin meningkat dan menunjukkan bahawa tahap kesedaran masyarakat bertambah baik mengenai Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19.

Anggota Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) turut ditugaskan bagi memastikan keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi sepenuhnya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Bahagian Sri Aman turut mengadakan program ‘outreach’ iaitu memberi suntikan kepada penduduk di Kampung Gayau Pantu yang terletak jauh dari pekan.-EDISI UKAS