ADUN Mulu Sumbang Pelitup Muka Dan Cecair Pencuci Tangan Kepada 3 Buah Kampung

RABU, 30 JUN 2021

MULU: Menyedari pentingnya peralatan seperti pelitup muka dan pembersih tangan dalam mengekang penularan wabak pandemik COVID-19, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Dato Gerawat Gala telah menyampaikan sumbanngan itu kepada penduduk di Daerah Kecil Mulu. 

Menurut Pejabat Pusat Khidmat DUN Mulu sumbangan tersebut telah diserahkan Pegawai Tadbir Sarawak di Daerah Kecil Mulu Rabeta Jangi yang mewakili Dato Gerawat Gala bersama wakil Klinik Kesihatan Batu Bungan Mulu Dr Nabila. 

“Sebanyak 2,000 keping pelitup muka dan 50 botol pembersih tangan telah dihantar menggunakan kapal terbang dari Miri ke Mulu. 

“Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari tiga buah kampung iaitu Kampung Batu Bungan, Kampung Melinau dan Kampung Long Iman Mulu menerima bantuan tersebut,” katanya pada Selasa. 

Salah seorang KMKK yang ditemui melahirkan rasa terima kasih kepada ADUN Mulu atas sumbangan tersebut yang disifatkannya sebagai inisiatif yang baik bagi menjaga keselamatan penduduk di DUN Mulu. 

“Sumbangan ini amat bermakna kepada penduduk kerana ianya merupakan satu keperluan yang harus digunakan oleh mereka ketika penularan wabak COVID-19. 

“Selain itu, kesukaran untuk mendapatkan pelitup muka dan pembersih tangan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) juga merupakan faktor utama penduduk kampung tidak dapat keluar daerah walaupun mempunyai urusan penting,” katanya. -EDISI UKAS

Share
0

add comment