Dermawan Sumbang Peralatan Perubatan Kepada Hospital Miri

RABU, 30 JUN 2021

MIRI: Seorang dermawan yang enggan namanya disiarkan telah memberikan sumbangan peralatan perubatan kepada Hospital Miri.

Menurut Menteri Bertanggungjawab Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan medianya pada Rabu, dermawan itu telah berjumpa dengannya dan menyatakan keinginan untuk membantu menyumbangan peralatan penting kepada Hospital Miri. 

“Dermawan itu telah memberikan sumbangan lapan unit ‘Kangaroo Enteral Feeding Pump’ dan lapan unit ‘Comen Syringe Pump’ dengan kos keseluruhan berjumlah RM60,000,” katanya yang mewakili dermawan itu menyerahkan peralatan perubatan itu kepada Pengarah Hospital Miri Dr Jack Wong Siew Yu. 

Peralatan ini akan digunakan untuk pesakit di wad Unit Jagaan Rapi (ICU) Hospital Miri.

Mengulas mengenai peralatan itu, Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak berkata kedua-dua jenis alatan tersebut telah diimport dari luar negara dan sampai dua hari lepas.

Kangaroo Enteral Feeding Pump mempunyai teknologi pemberian nutrien kepada pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan (Vertilated Patient) atau tidak sedar diri untuk memenuhi keperluan nutrisi harian pesakit.

”Manakala, Comen Syringe Pump pula berfungsi membantu mengatur kuantiti dan waktu serta jumlah dos penyuntikan yang tepat kepada pesakit,” ujarnya. 

Beliau yang mewakili JPBB Miri mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada dermawan-dermawan, individu-individu serta badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat atas kemurahan hati dan sumbangan tanggungjawab sosial korporat mereka kepada Hospital Miri dan Pejabat kesihatan Miri sejak pandemik COVID-19 ini bermula. 

Hadir sama Pengerusi JPBB Miri merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf. -EDISI UKAS

Share
0

add comment