RABU, 30 JUN 2021
SAMARAHAN : Seramai kira-kira 700 penerima vaksin di Daerah Samarahan dibantu dengan penyediaan pengangkutan khas yang telah disediakan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang memberitahu, inisiatif itu sangat membantu khususnya kepada penduduk-penduduk kampung yang tidak berkemampuan untuk menerima vaksin di pusat pemberian vaksin yang telah ditetapkan.
“Pada kesempatan ini saya mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Naib Canselor UNIMAS atas inisiatif yang sangat membantu ini serta berharap inisiatif ini juga dapat diperluaskan bagi penduduk-penduduk di kawasan lain menerusi agensi-agensi yang ada pada ketika ini.
“Setakat ini sekitar 81 peratus penduduk di Samarahan telah mendaftar sebagai penerima vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan daripada jumlah itu lebih separuh daripadanya telah pun menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
“Oleh hal itu pelbagai inisiatif perlu diwujudkan dalam menyegerakan proses imunisasi kepada penduduk-penduduk di Samarahan termasuklah yang kita dapat lihat pada hari ini iaitu penyediaan pengangkutan khas dari kampung-kampung ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) UNIMAS dan kini kita dalam proses percubaan untuk kaedah pemvaksinan secara pandu lalu yang dapat kita lihat di Dewan Suarah Kota Samarahan” katanya ketika ditemui semasa meninjau proses penyediaan pengangkutan penerima-penerima vaksin di Kampung Sinaran Jaya pada Selasa.
Semasa tinjauan berkenaan, beliau turut menyumbangkan makanan kepada penerima-penerima vaksin yang menggunakan perkhidmatan tersebut.
Dalam masa yang sama beliau turut memaklumkan untuk mewujudkan inisiatif yang serupa di kawasan-kawasan lain pada masa yang terdekat ini bagi membolehkan lebih ramai lagi penduduk di Kota Samarahan dapat divaksin dan perkara ini akan merealisasikan hasrat kerajaan untuk mewujudkan imuniti secara kelompok yang menjadi satu-satunya “Exit Strategy” dari kemelut yang diakibatkan oleh pandemik COVID-19.
Turut hadir sama, Pegawai Daerah Samarahan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Samarahan (JPBDS) Anuar Da’an dan Pegawai Daerah Asajaya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Asajaya (JPBDA) Rais Ahmat. –EDISI UKAS