Penduduk Long Beyak 100 Peratus Telah Mendapat Suntikan Vaksin COVID-19 Dos Pertama

RABU, 30 JUN 2021

TATAU: Proses vaksinasi COVID-19 melalui Perkhidmatan Doktor Udara telah berjaya membantu 100 peratus penduduk Long Beyak yang berkelayakan mendapat suntikan vaksin COVID-19. 

Ketua Kampung Long Beyak Edum Batok berkata, ini membuktikan masyarakat di Long Beyak menyokong usaha kerajaan mendapatkan vaksin sekaligus melindungi diri, keluarga dan orang lain daripada wabak COVID-19. 

“Saya melahirkan rasa syukur kerana pada hari ini (Selasa) semua penduduk kampung yang tinggal Long Beyak dan layak menerima telah 100 peratus mendapat suntikan vaksin COVID-19.

“Hari ini seramai seramai 7 orang penduduk di Long Beyak telah mendapat suntikan vaksin dos pertama melalui perkhidmatan Doktor Udara.

“Terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu dan Pejabat Daerah Tatau yang berusaha mempercepatkan proses vaksinasi kepada penduduk luar bandar khususnya di Long Beyak di Ulu Kakus yang jauh di pedalaman,” katanya semasa ditemui selepas menyaksikan proses pemberian vaksin COVID-19 di Long Beyak pada Selasa. 

Untuk rekod seramai 80 orang penduduk di Kampung Long Beyak telah mendapat suntikan vaksin COVID-19 termasuk di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Daerah Tatau dan di PPV Daerah Belaga.

Perkhidmatan vaksinasi COVID-19 melalui Perkhidmatan Doktor Udara ini sangat membantu memudahkan warga emas mendapatkan suntikan vaksin termasuk mereka yang uzur dan terbatas pergerakkannya untuk mendapatkan suntikan vaksin di PPV di Daerah Tatau ataupun di Daerah Belaga.

Sementara itu, Edum turut menggesa penduduk Long Beyak yang berada di bandar seperti di Miri, Bintulu, Kuching termasuk di Semenanjung Malaysia agar mendapatkan suntikan vaksin COVID-19. 

“Saya menyeru mereka yang masih belum mendaftar untuk mendapat vaksin segera berbuat demikian. 

“Saya berharap semua penduduk kampung termasuk mereka yang bekerja di bandar mendapat suntikan vaksin.

“Pengambilan vaksin ini penting untuk melindungi diri kita dan masyarakat di sekeliling kita,” tambahnya. -EDISI UKAS

Share
0

add comment