PETRONAS Dan Anak Syarikatnya Sumbang Peralatan Perubatan Dan Komputer Riba Kepada PPV Bahagian Bintulu

BINTULU: Dalam usaha mengurang beban dan membantu proses vaksinasi di Bahagian Bintulu, Syarikat Petroleum Nasional (PETRONAS) menerusi beberapa anak syarikatnya telah memberikan sumbangan kepada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Bintulu. 

Menurut Pengarah Urusan ABF Aslam Khan Mohater Khan, sumbangan dibuat menerusi anak syarikat PETRONAS seperti Kumpulan Syarikat Malaysia LNG, PETRONAS LNG 9 Sdn Bhd, PETRONAS Carigali Sdn Bhd-Sarawak Gas dan ASEAN Bintulu Fertiliser Sdn Bhd (ABF). 

“Sumbangan itu bagi menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Bahagian Bintulu dan usaha barisan hadapan perubatan dalam menangani peningkatan kes pandemik COVID-19 di Bahagian Bintulu serta membantu mempercepatkan ke arah mencapai Imuniti Kelompok. 

“Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada usaha PETRONAS untuk menjaga kesejahteraan masyarakat setempat semasa wabak COVID-19 ini,” katanya semasa ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr Melvin Chung Hsien Liang bertempat di Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Kelab Kidurong Bintulu pada Selasa. 

Antara sumbangan yang diberikan ialah 5 unit peti penyimpanan vaksin, 8 unit komputer riba dan 20 set ‘queue-up stands’ yang bernilai RM52,000.

Sebelum ini, PETRONAS turut menyumbang 6,200 keping Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) pakai buang, bantuan bekalan perubatan dan makanan kepada petugas barisan hadapan, mesin Polymerase Chain Reaction (PCR) kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu, lapan unit  komputer riba bagi PPV di Daerah Tatau dan Sebauh serta bekalan sekolah dan kit kebersihan diri kepada pelajar sekolah rendah.

Hadir sama Ahli Parlimen Bintulu Datuk Sri Tiong King Sing, Residen Bahagian Bintulu yang juga Pengerusi JPBB Bintulu Jack Aman Luat, Pengurus Besar Kanan MLNG Shariman Daud, Ketua Jabatan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar PETRONAS Carigali Sdn Bhd – Sarawak Gas, Cecilia Lakai dan Pengurus Kanan PETRONAS Sarawak Norazibah Rabu. -EDISI UKAS

Share
0

add comment