PPN Fasa 1: JPBB Bintulu Masih Guna SOP Sedia Ada, Akan Perhalusi Beberapa Perkara Berkaitan

RABU, 30 JUN 2021

BINTULU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu masih menggunapakai garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada dalam tempoh pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN)  Fasa 1 bermula 29 Jun hingga 12 Julai 2021.

Pengerusinya, Jack Aman Luat berkata, semua aktiviti sosial dan ekonomi tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor perlu dalam senarai positif yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak. 

“Selaku Pengerusi JPBB Bintulu, pihaknya masih dalam proses perbincangan untuk memperhalusi beberapa perkara berkaitan,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan tinjauan ke Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) Kelab Kidurong Bintulu pada Selasa. 

Dalam pada itu, menjawab pertanyaan media samada individu yang sudah lengkap dos vaksin perlu menjalani ujian calitan rt-PCR untuk rentas daerah atau bahagian lain, Jack yang juga Residen Bahagian Bintulu memberitahu pihaknya sedang meneliti perkara tersebut.

Terdahulu, beliau telah menyaksikan simbolik penyerahan sumbangan berupa barangan keperluan bagi kegunaan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bahagian Bintulu oleh Pengarah Urusan Asean Bintulu Fertilizer (ABF) Aslam Khan Mohater Khan kepada Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr Melvin Chung Hsien Liang.

Turut hadir Ahli Parlimen Bintulu Datuk  Sri Tiong King Sing, Pegawai Kesihatan Bahagian Bintulu Dr Melvin Chung Hsien Liang, Pengarah Urusan ABF Aslam Khan Mohater Khan, Pengurus Besar Kanan MLNG Shariman Daud, Ketua Jabatan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar PETRONAS Carigali Sdn Bhd – Sarawak Gas Cecilia Lakai dan Pengurus Kanan PETRONAS Sarawak Norazibah Rabu. -EDISI UKAS

Share
0

add comment