KHAMIS, 1 JULAI 2021
MERADONG: Kaedah ‘suntik dahulu daftar kemudian’ diaplikasikan dalam program vaksinasi bergerak yang diadakan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kampung Sabena, Meradong bermula pada Rabu hingga Khamis.
Menurut ADUN Daro, Safiee Ahmad, pendekatan itu digunakan kerana menyedari kawasan berkenaan menghadapi masalah pendaftaran kerana capaian Internet yang lemah di situ.
Selain itu, program outreach itu juga menggabungkan ketiga-tiga fasa pemberian vaksin untuk memudahkan penduduk divaksinasi.
“Pasukan bersedia untuk menerima mereka yang ‘walk-in’ di mana kaedah suntik dulu daftar kemudian turut kita sediakan hari ini.
“Ini satu pendekatan yang baik terutamanya kita tahu beberapa tempat menghadapi masalah logistik yang tidak dapat didaftarkan dalam MySejahtera,” katanya kepada media semasa meninjau proses pemberian vaksin di PPV itu pada Rabu.
Jelasnya, seramai 318 penduduk kampung itu dan beberapa rumah panjang berhampiran akan menerima vaksin dalam program tersebut.
Bagi memudahkan penduduk bergerak ke PPV, beliau telah menyediakan peruntukan untuk menyewa bot dengan jadual perjalanan akan diatur oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan kampung dan rumah panjang masing-masing bagi mengelakkan kesesakan di PPV.
Tambah Safiee lagi, beliau yakin sasaran untuk mencapai imuniti kelompok di kawasan itu dapat direalisasikan pada penghujung Julai ini.
Sementara itu, Residen Bahagian Sarikei, Felicia Tan Ya Hua menyeru penduduk yang tinggal di kawasan kampung dan rumah panjang berhampiran yang belum mendaftar untuk tampil di program tersebut bagi menerima vaksin.
Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyediakan vaksin tambahan bagi memberi kepada mereka yang ‘walk-in’.
Jelasnya lagi, program di PPV Kampung Sabena, Meradong itu merupakan lokasi keempat untuk program outreach yang dilaksanakan di Sarikei.
Hadir sama Pegawai Daerah Meradong, Badjuri Bidin dan Pegawai Kesihatan Bahagian Sarikei, Emmanuel Fong. – EDISI UKAS