Penerima Vaksin Tertua Berumur 106 Tahun Di Bekenu

KHAMIS, 1 JULAI 2021

BEKENU: Program Outreach Vaksinasi COVID-19 yang sedang dilaksanakan ketika ini di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bekenu telah membolehkan lebih ramai penduduk mendapatkan vaksin COVID-19. 

Menteri Muda Wanita Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Datuk Hajah Rosey Yunus berkata, ini menyakinkan kerajaan untuk mencapai Imuniti Kelompok menjelang Ogos 2021. 

“Program Outreach Vaksinasi COVID-19 ini sangat membantu khususnya penduduk yang tidak berupaya untuk mendapatkan suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan mereka yang berada di luar bandar dan pedalaman.

“Justeru, penduduk yang masih belum mendaftar untuk menerima vaksin COVID-19, mereka perlu menghantar nama melalui Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) yang berdekatan bagi membentuk Imuniti Kelompok dan seterusnya mengekang penularan COVID-19,” katanya semasa ditemui selepas menyaksikan suntikan vaksin COVID-19 melalui Program Outreach Vaksinasi COVID-19 di sekitar Bekenu pada Khamis. 

Sementara itu, Penyelaras PPV di Daerah Bekenu Dr Monica memberitahu sebanyak dua pasukan kesihatan turun melakukan vaksinasi di Klinik Kesihatan Bekenu dan Klinik Kesihatan Tun Haji Openg.

“Bagi pasukan Klinik Kesihatan Bekenu, pasukan kesihatan telah memberikan vaksin COVID-19 kepada 13 orang iaitu 5 Orang Kurang Upaya (OKU) dan 8 orang warga emas. 

“Hari ini juga mereka telah  memberikan vaksin COVID-19 kepada seorang penerima vaksin tertua berumur 106 tahun dari Bekenu. Untuk pasukan Klinik Kesihatan Tun Haji Openg pula, seramai 15 orang penerima vaksin yang telah menerima suntikan iaitu 8 OKU dan 7 warga emas,” katanya. 

Hadir sama Pegawai Daerah Subis Jamalie Busri, Setiusaha Politik Ketua Menteri Sarawak Sarkawi Suhaili dan Pemanca Ali Mudin. -EDISI UKAS

Share
0

add comment