Serba Dinamik Sumbang Peralatan Perubatan Dan Makanan Hampir RM50,000 Kepada Hospital Bintulu

KHAMIS, 1 JULAI 2021

BINTULU: Syarikat Serba Dinamik Sdn Bhd telah menyampaikan sumbangan peralatan perubatan dan makanan hampir RM50,000 kepada Hospital Bintulu sepanjang pandemik COVID-19 ini. 

Pengerusinya Datuk Kadier Sahib berkata, ini merupakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat dalam membantu kerajaan menangani penularan wabak COVID-19. 

Sumbangan tersebut merangkumi pemberian beberapa buah mesin basuh, ‘water dispenser’ dan makanan kering serta minuman untuk diagihkan kepada Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Bintulu. 

“Oleh kerana keadaan COVID-19 masih belum reda, Serba Dinamik telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan sekali lagi CSR. 

“Sebelum ini, kita telah beberapa kali membantu pihak hospital, klinik dan barisan hadapan serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

“Alhamdulillah, kita berterima kasih kepada Hospital Bintulu kerana telah menjemput kita dan sekali lagi melaksanakan CSR kepada Hospital Bintulu,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyerahkan sumbangan Syarikat Serba Dinamik kepada Timbalan Pengarah Hospital Bintulu Dr Sivashunmugan Sangaran di Hospital Bintulu pada Rabu. 

Tambahnya, setakat ini mereka telah menyumbangkan lebih RM2 juta bukan saja di Bintulu tetapi juga di Kuching, Kota Samarahan, Labuan dan tempat lain yang memerlukan bantuan. 

Sementara itu, Dr Sivashunmugan Sangaran menggesa masyarakat di Bintulu untuk tidak mengambil mudah terhadap penurunan kes COVID-19 dan terus mematuhi garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dilaksanakan ketika ini. 

“Saya ingin memberitahu kepada masyarakat Bintulu jangan ambil mudah dengan pengurangan kes COVID-19 ketika ini kerana masyarakat Bintulu belum lagi selamat dari pandemik ini. 

“Oleh itu, kita memohon kepada masyarakat sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan. 

“Sekiranya tiada pihak yang mengawasi keadaan ini, masyarakat akan ambil mudah dan ini akan menimbulkan kes positif COVID-19 yang baharu,” katanya. 

Mengulas mengenai sumbangan ini, beliau menzahirkan rasa terima kasih kepada Serba Dinamik atas sumbangan ini yang sekaligus membantu meringankan beban Hospital Bintulu. 

Hadir sama Timbalan Presiden Kanan Serba Dinamik, Operasi Timur Malaysia dan Labuan Zainulabidin Ismail. -EDISI UKAS

Share
0

add comment