Jumlah Pemberian Vaksin COVID-19 Bahagian Miri Mencecah 188,705 Dos

JUMAAT, 2 JULAI 2021

MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri memaklumkan jumlah pemberian kumulatif vaksin COVID-19 di Bahagian Miri sehingga 30 Jun 2021 adalah sebanyak 188,705 dos.

Menurut Menteri Bertanggungjawab JPBB Miri  Datuk Lee Kim Shin dalam kenyataan pada Khamis perkembangan vaksinasi Fasa 2 dan 3 di Bahagian Miri berjalan lancar.

“Proses vaksinasi Bahagian Miri mempunyai prestasi agak baik dengan pencapaian bilangan dos 1 dan 2 untuk Bahagan Miri adalah sebanyak 188,705.

“Daripada jumlah itu, 62.45 peratus bagi dos 1 dan 10.44 peratus bagi dos 2 daripada 258,900 orang jumlah anggaran populasi penduduk berumur 18 tahun dan ke atas di Bahagian Miri yang layak untuk mendapatkan imunisasi daripada MySejahtera,” katanya. 

Daerah Miri mencatat 94,035 dos pertama diikuti dos kedua sebanyak 16,742, Daerah Subis pula 37,260 dos pertama, 4,515 dos kedua dan Daerah Beluru 9,742 dos pertama. 

Manakala. Daerah Telang Usan sebanyak 9,025 dos pertama diikuti 1,398 dos kedua dan Daerah Marudi 11,624 dos pertama dan 4,364 dos kedua. 

Sementara itu, Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak mengingatkan orang ramai yang telah berdaftar dengan MySejahtera untuk mendapatkan vaksin COVID-19 agar sentiasa membuka aplikasi tersebut serta membuat semakan pada setiap pagi bagi memastikan mereka tidak terlepas tarikh untuk mendapatkan vaksin. 

“Kita ingin tegaskan perkara ini kerana ramai tak buka MySejahtera tiap-tiap hari. 

“Kalau sudah daftar mesti melihat MySejahtera supaya tidak terlepas tarikh mendapatkan vaksin. 

“Bagi yang telah menerima dos 1 jangan lupa untuk hadir ke PPV bagi mendapatkan dos 2 dengan menyemak notifikasi di telefon bimbit mereka setiap hari atau pun mereka juga boleh membuat semakan status janji temu vaksinasi masing-masing di laman sesawang Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) iaitu https://www.vaksincovid.gov.my/semak-status/,” ujarnya.

Orang ramai yang masih belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19 sila berhubung terus dengan JPBB Miri melalui Whatsapp di nombor 011-59284348 atau 011-59424290 dengan menyertakan butiran seperti nama penuh, nombor kad pengenalan, nombor telefon dan alamat lengkap untuk tujuan dikoordinasikan oleh JPBB Miri. 

Selain itu, boleh juga mendaftar di Klinik Kesihatan berhampiran atau berhubung dengan Ketua-ketua Kaum atau Persatuan-persatuan masing-masing dan mereka akan menghantar butir-butir tersebut ke Pejabat-pejabat Daerah masing-masing yang akan menyelaraskannya sebelum dihantar ke Pejabat Kesihatan Miri. 

Turut sama Residen Bahagian Miri merangkap Pengerusi JPBB Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf dan Pegawai Kesihatan Bahagian MiriDr. P. Raviwharmman A/L Packierisamy. -EDISI UKAS

Share
0

add comment