Tan Sri James Jemut Masing Sokong Program GoBald Virtual 2021

JUMAAT, 2 JULAI 2021

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Sarawak , Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing menyokong Persatuan Kanser Kanak-kanak Sarawak (SCCS) mengadakan program ‘Going Bald Day’.

Beliau memberitahu, program yang sama telah diadakan tujuh tahun yang lalu dan beberapa orang turut menyahut cabaran mencukur kepala mereka di depan umum sekaligus mengumpulkan dana untuk SCCS.

“Salah seorang daripadanya ialah Emma Maria Masing yang berusia 15 tahun ketika itu.

“SCCS telah berjaya mengumpul RM81,307 hasil daripada keberanian Emma agar kepalanya dicukur,”katanya menerusi kenyataan media pada Jumaat.

Jelasnya, tujuan program ini adalah untuk SCCS mengumpul dana bagi keluarga yang menempuhi cabaran menghidap barah.

“Kita tidak dapat membayangkan tekanan yang harus dilalui oleh kanak-kanak ini termasuk keluarga dan penjaga mereka terutamanya ketika pandemik ini,” katanya.

Tan Sri James juga turut meminta orang ramai dan agensi yang lain untuk menyokong SCCS GoBald Virtual 2021 yang akan dibuka untuk pendaftaran pada 4 Julai ini.

Dalam pada itu, Presiden SCCS, Rodney Wong memaklumkan program tersebut masih tidak dapat diadakan secara terbuka dan mencukur kepala akan dilakukan secara percuma di salun selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Orang ramai yang berminat boleh mendaftar di www.gobald.my dan membuat temu janji dengan salun di lokasi terpilih. –EDISI UKAS