SABTU, 3 JULAI 2021
BETONG: Program Vaksinasi Bergerak yang diadakan selama tiga hari di Masjid Ar-Rayyan, Kampung Tuie telah berjaya menyuntik seramai 1200 penduduk dari lima buah kampung sekitar Pusa.
Menurut ADUN Saribas, Mohammad Razi Sitam, program yang akan berakhir pada Ahad itu melibatkan penduduk dari Kampung Serabang, Kampung Tuie, Kampung Supa, Kampung Medang dan Kampung Manggut.
“Saya telah dimaklumkan bahawa sejumlah 1200 dos vaksin telah diberikan dalam tempoh tiga hari ini sehingga esok dan dijangka mencecah 1500 dos vaksin bakal dikeluarkan.
“Pusat Vaksinasi Bergerak ini juga sebelum ini telah dilakukan di Debak dan ianya telah selesai sepenuhnya dengan jumlah dos vaksin sebanyak 2424 dikeluarkan.
“Manakala sebahagian lagi penduduk di bawah DUN Saribas akan hadir ke Pusat Pemberian Vaksin di Dewan Rentap Betong dan Dewan Serbaguna Spaoh,” katanya kepada media semasa meninjau proses pemberian vaksin di PPV bergerak itu pada Sabtu.
Beliau turut menjangkakan lebih 90 peratus penduduk di DUN Saribas telah mendapat suntikan vaksin selepas tamatnya Pusat Vaksinasi Bergerak itu pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau menyeru kepada mereka yang belum mendapatkan vaksin untuk segera mendaftarkan nama secara sukarela melalui MySejahtera.
Beliau turut menasihati penduduk kampung yang memiliki kesukaran untuk bergerak ataupun warga emas yang terlantar sakit di rumah untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar kesihatan atau doktor yang bertugas di tempat masing-masing.
Sementara itu, Ketua Klinik Beladin, Dr. Stephen Jeshua Manuel menjelaskan Pusat Vaksinasi Bergerak itu beroperasi selama empat hari untuk memberikan suntikan dos pertama jenis Sinovac kepada penduduk di kawasan itu.
Menurutnya, untuk memastikan Pusat Pemberian Vaksin itu berjalan dengan lancar, seramai 28 petugas dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk 30 sukarelawan ditugaskan di pusat itu. – EDISI UKAS