Bas Vaksinasi Mula Beroperasi, Sasar 50 Penduduk Sibu Sehari

SABTU, 3 JULAI 2021

SIBU: Proses pemberian vaksin secara bergerak menggunakan bas di Sibu memulakan operasinya pada Jumaat.

Menurut Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi merangkap ADUN Nangka, Dr Annuar Rapa’ee hari pertama program itu mensasarkan kawasan zon merah iaitu Tiong Hua yang masih mencatat kes jangkitan tinggi.

“Lokasi pertama kita iaitu di kawasan Tiong Hua, satu kawasan yang paling teruk terjejas di mana kes jangkitan Covid-19 masih belum turun dan masih dalam zon merah di Sibu.

“Kita akan melakukan program vaksinasi secara menyeluruh di kawasan Tiong Hua ini,” katanya semasa meninjau operasi hari pertama perkhidmatan bas vaksin bergerak itu pada Jumaat.

Difahamkan pasukan bergerak itu akan memvaksini seramai 50 penduduk sehari sebagai percubaan dalam minggu ini dan jumlah itu akan ditingkatkan jika semuanya berjalan lancar.

Selain Tiong Hua, pasukan itu turut mensasarkan penduduk di kawasan Tong San dan Sukun dan akan diperluaskan ke lokasi-lokasi yang akan dikenal pasti kelak.

Operasi suntikan vaksin beroperasi dari jam 5 petang untuk memudahkan mereka yang bekerja turut menerima vaksin tanpa mengganggu masa bekerja mereka.

Tiada walk-in dibenarkan kerana setiap petang nama yang dikumpul akan dihantar untuk senarai divaksin keesokan harinya. – EDISI UKAS