KKM Pantau Kelancaran Proses Vaksinasi Di PPV Klinik Swasta Milik ADUN Mambong

SABTU, 3 JULAI 2021

PADAWAN : Klinik swasta milik Menteri Muda Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil yang dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) telah dipantau oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pada Jumaat.

Pemantauan KKM ke PPV Klinik Perubatan Batu 10 itu diketuai Pegawai Perubatan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta, Dr. Fatimah sambil diiringi Datuk Dr Jerip sendiri bagi memastikan kelancaran proses dan segala kelengkapan dijalankan dengan teratur dan terkawal.

PVV yang keempat diwujudkan bagi Program Vaksinasi Outreach di Daerah Kecil Padawan dan juga di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong tersebut mula dibuka kepada orang ramai pada 29 Jun lepas menggunakan perkhidmatan pendaftaran secara ‘walk-in’, dengan menyasarkan lebih kurang 1913 pemohon meliputi 9 buah kampung di kawasan Bisitang dan sekitarnya untuk divaksinasi.

Turut hadir, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Padawan,Julius Scott Ak Sapong dan Penolong Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Kota Sentosa,Paul Duwih. -EDISI UKAS